Hutang hakikatnya sebahagian kehidupan baik dahulu dan kini. Rasulullah SAW sendiri diceritakan pernah berhutang. Sayidatina Aishah RA meriwayatkan Nabi SAW terpaksa berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dan mencagarkan baju besi Baginda sebagai jaminan hutang itu. (HR Bukhari dan Muslim)
Jabir RA meriwayatkan selepas Rasulullah SAW wafat dan ketika hendak ditebus Sayidina Abu Bakar RA, Yahudi terbabit mengatakan: "Jaminannya melebihi nilai hutangnya. Engkau tidak perlu menebusnya." Hadis ini jelas menunjukkan sikap Baginda Nabi SAW tidak pernah menganggap enteng terhadap hutang.
Baju besi dicagarkan mempunyai nilai lebih tinggi daripada nilai hutang menunjukkan kepada kita dua perkara. Pertama, Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh untuk melangsaikan hutang. Kedua, Rasulullah SAW tidak bermudah-mudah berhutang tanpa meletakkan satu komitmen.
Berhutang diharuskan dalam Islam, tetapi bukan bertujuan bermewah-mewahan. Namun, Islam memilih jalan berhutang sebagai jalan terakhir jika benar-benar tersepit. Justeru, Islam menggalakkan umatnya agar memberi bantuan kepada saudara yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu'sir (kesulitan membayar hutang), nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba berkenaan menolong saudaranya." (HR Muslim)
Sejak sekian lama masalah hutang tidak terlangsai berlaku dalam masyarakat. Punca utamanya, culas membayar hutang. Sebahagiannya sengaja melupakan, ada menganggap ia tidak penting, malah ada membuat persepsi sendiri pemiutang sudah melupakannya.
Al-Quran dan hadis memberikan gambaran amat dahsyat kepada penghutang yang culas dan sengaja mencari alasan daripada melunaskan hutang. Ketika bersetuju memberi hutang dahulu, tentu pemiutang amat berharap penghutang menunaikan semula haknya kerana dia mempunyai keperluan hidup.
Hal ini menyebabkan penganiayaan kepada pemiutang kerana haknya dikhianati. Perkara seperti ini amat kerap berlaku dalam masyarakat, terutama sesama saudara mara dan kenalan.
Dalam hal itu, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)." (HR Muslim).
Begitu juga hadis bermaksud: "Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan." (HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi)
Al-Quran sendiri mengisyaratkan berat perihal hutang dengan ayat paling panjang, iaitu surah al-Baqarah ayat 282. Sementara itu, Al-Quran juga menyatakan hutang perlu dilunaskan walaupun penghutang sudah meninggal dunia dengan hartanya sendiri sebelum dibahagikan sebagai pusaka kepada waris.
Allah SWT berfirman: Dan bagimu (suami) satu perdua daripada harta ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat harta ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) selepas dibayar hutangnya. (Al-Nisa': 12)
Jelas, pembayaran hutang bukan perkara boleh dibuat main-main. Lebih jelas, al-Quran menganjurkan diwujudkan perjanjian sekiranya berhutang. Walaupun perkara ini mungkin tampak janggal jika ingin diterapkan, terutama sesama kenalan, ia rujukan tuntas jika berlaku masalah pada masa hadapan.
Allah SWT berfirman: "Wahai orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu." (Al-Baqarah: 282)
Apa dapat disimpulkan di sini, ambillah berat mengenai hutang kerana ia berkaitan sekali dengan kehidupan dunia dan akhirat. Jika di dunia sudah tentu kebobrokan berhutang akan menyebabkan krisis kepercayaan antara satu sama lain, bermusuhan, berdendam dan menyebabkan maruah tercalar. Kehidupan selepas kematian menjanjikan seksaan pedih kerana melakukan penganiayaan kepada manusia lain.
Justeru, seperti kita bersungguh-sungguh meminta hutang, maka selayaknya kita juga bersungguh-sungguh melunaskannya, walaupun dengan kadar sedikit setiap bulan. Insya-Allah, si pemiutang berasa lega dan faham akan kesungguhan si penghutang menjalankan tanggungjawabnya.
Dalam pada itu, berhutang dengan kadar selayaknya dengan kemampuan diri. Usah sesekali mudah mencipta hutang dalam perkara bukan menjadi keperluan. Silapnya, kebanyakan masyarakat kita sekarang sanggup berhutang sampai terpaksa mengikat perut. Misalnya berhutang kerana memakai kereta mewah, sedang kekuatan pendapatan bulanannya sepatutnya hanya memakai kereta kecil. Akhirnya, fenomena ini menyebabkan si fulan terpaksa menanggung biawak hidup saban bulan. Justeru, fikirlah dahulu sebelum berhutang.