Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)
Islam menekankan keperluan membantu sesama insan. Setiap hari kita berurusan dengan orang lain dengan cara mendapatkan bantuan serta khidmat daripadanya kerana kudrat diri yang terbatas. Bagi membeli keperluan dapur misalnya, kita berurusan dengan peniaga di pasar. Untuk memastikan anak mendapat pendidikan sempurna, kita berurusan dengan sekolah dan guru. Kita akan sentiasa memerlukan khidmat dan bantuan orang dalam menyempurnakan kehidupan kita dan setiap masalah wajib diberi layanan sepatutnya, hatta membabitkan perkara kecil sekalipun.
Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam konteks kehidupan norma baharu ini, ada kalanya kita bertemu keadaan orang lain yang memerlukan bantuan. Maka, sangat elok sekiranya kita dapat cuba membantu. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Mungkin juga kita didatangi orang yang memerlukan sedikit wang untuk menguruskan kehidupannya, maka ambillah kesempatan itu untuk menghulurkan bantuan seadanya.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke da-lam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.