" Dah banyak kali cuba, tapi aku tetap gagal untuk istiqamah. Macam mana lah ye?"
Mungkin situasi ini kita pernah hadapi. Ya, bukan mudah untuk kita istiqamah terutama dalam melakukan ibadah secara berterusan. Selalunya, lain yang kita rancang, lain yang akan jadi; bersimpang jauh dengan tindakan yang kita lakukan.
Untuk peringatan kita bersama, Rasulullah SAW pernah berpesan menerusi hadis baginda: "Lakukanlah amal sesuai dengan kesanggupan kerana sesungguhnya ALLAH SWT tidak akan bosan sehingga engkau menjadi bosan. Dan sesungguhnya amal yang paling ALLAH SWT sukai ialah yang terus-menerus dikerjakan walaupun sedikit." (Riwayat Abu Dawud)
Namun untuk ciri-ciri menarik untuk kita ambil teladan apabila baginda SAW sendiri tidak pernah mengikut mood apabila melakukan amal ibadah, tidak seperti kita. Misalnya, solat malam. Baginda akan melakukannya tanpa meninggalkannya. Jika ada halangan, Nabi Muhammad SAW akan menggantikannya dengan solat sunat sebanyak mana rakaat yang selalu dilakukan pada waktu siang.
Berbeza benar dengan sikap kita yang hanya akan melaksanakan sebanyak mana yang termampu. Namun ingat, Allah tidak pernah bosan dengan azam dan usaha kita untuk istiqamah biarpun 1000 kali kita mencubanya. Jadi bagaimana kita mahu kekal istiqamah?
Apa kata kita cuba cara ini:
1. Mulakan dengan sesuatu yang sangat mudah dan sedikit dahulu.
2. Lakukan peningkatan setiap hari. Selepas itu, sedikit demi sedikit lakukan penambahan kepada yang besar dan semakin besar.
3. Pastikan peningkatan yang dilakukan itu semuanya mudah untuk dilaksanakan. Jangan biarkan peningkatan itu menjadi sulit demi mengelakkan semangat yang ada menjadi pudar.
4. Paling utama, sentiasa memohon kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati untuk istiqamah melakukannya.
Jom kita cuba lakukan bersama! Apatah lagi, pada bulan Ramadan yang bakal tiba, bulan yang mempunyai pelbagai keistimewaan ini untuk kita meningkatkan amal ibadah.